Fergus Tierney, Chonburi FC Berpisah Selepas 4 Bulan
Hafiz Omar

Pembabitan penyerang muda Malaysia-Scotland, Fergus Tierney dalam kancah Liga Thai 2 bersama Chonburi FC nampaknya menemui titik noktahnya selepas empat bulan.
Menerusi satu laporan oleh wartawan Thailand yang disiarkan di SNE Sports, perkembangan itu hadir susulan Chonburi FC menamatkan kontrak pinjaman penyerang berusia 21 tahun berkenaan dengan lebih awal.
Difahamkan khidmat Tierney yang telah tampil sebanyak 13 kali dan meledakkan satu gol dilepaskan berikutan perubahan perancangan pihak kejurulatihan skuad berjulukan The Sharks untuk menghadapi baki musim 2024-25.
Bercakap mengenai jaringan tunggalnya itu, ianya terhasil 28 saat selepas pengadil meniup wisel memulakan permainan ketika Tierney turun menentang Suphanburi FC pada aksi pertama Liga Thai 2.

Ketika ini, Chonburi FC sedang menghuni tangga keempat Liga Thai 2 dengan kutipan 27 mata daripada 15 perlawanan.
Berikutan penamatan awal kontrak pinjaman oleh Chonburi FC, Tierney dijangka pulang ke pangkuan kelab asalnya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Semalam, Tierney yang dimasukkan selaku pemain gantian oleh ketua jurulatih, Pau Marti berjaya meledak jaringan sulungnya bersama skuad kebangsaan sekaligus mengikat Kemboja dengan kedudukan 2-2.
Jaringannya itu membolehkan Malaysia berjulukan Harimau Malaya mengutip satu mata daripada perlawanan pembukaan peringkat Kumpulan A dalam saingan Piala ASEAN 2024.
Sebagai rekod, Tierney diumumkan menyertai Chonburi FC secara mengejut ketika majlis memperkenalkan barisan pemain serta jersi baharu untuk mengharungi musim 2024-25 sekitar penghujung Julai lalu.
Featured Image: Chonburi FC