Bekas Bintang Manchester United, Luis Nani Gantung But Pada Usia 38 Tahun
December 9, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain yang membantu Manchester United menjuarai empat gelaran Liga Premier (PL) dan menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Luis Nani mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 38 tahun.

Perkara tersebut diumumkannya sendiri menerusi satu video berdurasi tiga minit dan 16 saat berserta kapsyen sebanyak 80 perkataan yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

“Masa telah tiba untuk mengucapkan selamat tinggal, saya telah memutuskan untuk menamat karier sebagai pemain profesional.” tulisnya.

View this post on Instagram

A post shared by Luís Nani (@luisnani)

Sebagai rekod, Nani yang terkenal peranannya selaku penyerang sayap memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama Sporting CP pada tahun 2005 sebelum menyertai Manchester United dari 2007 hingga 2015.

Selepas itu, Nani berkelana ke beberapa buah kelab seperti Fenerbahce (Turki), Valencia (Sepanyol), Lazio (Itali), Orlando City (Amerika Syarikat), Venezia (Itali), Melbourne Victory (Australia), Adana Demirspor (Turki) dan akhir sekali, Estrela Amador (Portugal).

Sepanjang tempoh itu bersama kesemua kelab-kelab yang dinyatakan di atas, Nani merekodkan lebih 600 penampilan, menjaringkan 128 gol selain mencetak 145 bantuan gol.

Bersama skuad kebangsaan negara kelahirannya pula, Nani yang meraih debut pada 1hb September 2006 pada usia 19 tahun di bawah kendalian Luiz Felipe Scolari berhasil merekodkan 112 penampilan dan menjaringkan 23 gol selain berjaya menjulang trofi Kejuaraan Eropah (EURO) 2016.

Komen