
Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya dijangka berpeluang besar untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia dua kali berturut-turut.
Ini selepas Harimau Malaya yang kini menghuni ranking ke-132 dunia telah diundi bersama-sama Vietnam (116), Nepal (175) dan Laos (186) dalam Kumpulan F, pada hari ini.
Di atas kertas, Vietnam dilihat sebagai pasukan paling kuat berdasarkan kedudukannya dalam Ranking Dunia FIFA.
Bagaimanapun, prestasi semasanya menunjukkan skuad berjulukan Naga Emas yang dahulunya merupakan ‘Raja Asia Tenggara’ dalam keadaan yang tidak cemerlang.

Sebagai rekod, Vietnam hanya mendaftarkan satu kemenangan dan satu seri sahaja, ketika bertemu Filipina dan India masing-masing, daripada sebelas perlawanan antarabangsa yang dihadapinya setakat ini.
Sebagai perbandingan, Malaysia telah mengharungi sebanyak 13 perlawanan sepanjang tahun ini, tidak termasuk saingan Piala ASEAN 2024, mencatatkan rekod yang lebih baik dengan mendaftarkan empat kemenangan, empat seri dan tewas sebanyak lima kali.
Sementara itu, bertemu Nepal dan Laos, Harimau Malaya merekodkan kemenangan daripada dua dan empat pertemuan terakhir masing-masing.
Malaysia akan membuka kempen pusingan akhir kelayakan ini dengan menentang Nepal (‘away’, Mac 2025) diikuti Vietnam (‘home’, Jun 2025), Laos (‘away’ & ‘home’, Oktober 2025), Nepal (‘home’, November 2025) dan Vietnam (‘away’, Mac 2026).
Untuk makluman, hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak ke saingan Piala Asia 2027 menyertai 18 pasukan lain yang telah mengesahkan tempat dengan lebih awal susulan muncul juara dan naib juara kumpulan bagi peringkat Pusingan Kedua Kelayakan Piala Asia 2027 bar-baru ini.