Naturalisasikan Bergson & Hidalgo Untuk Harimau Malaya – Pemilik JDT
December 9, 2024 Hafizuddin Omar

Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, 33 tahun, boleh dinaturalisasikan sekaligus menjadi penyelesaian jangka masa pendek buat skuad bola sepak kebangsaan, demikian perkongsian oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail.

Baginda yang merupakan pemilik kelab berjulukan Harimau Selatan terbabit turut memberikan saranan untuk menaturalisasikan pemain tengan lincah kelahiran Argentina yang beraksi secara pinjaman di Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo, 25 tahun, sebagai penyelesaian jangka masa panjang.

Perkara tersebut dilontarkan baginda menjawab kenyataan wartawan sukan, Zulhelmi Zainal Azam yang memaklumkan tugasan mencabar menanti ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan selepas selesainya majlis undian pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 Arab Saudi, pada hari ini.

Hasil undian itu menyaksikan Malaysia, ranking 132 dunia, telah diundi bersama Vietnam (116), Nepal (175) dan Laos (186) dalam Kumpulan F.

Untuk makluman semua, Bergson yang telah meledak sebanyak 130 gol daripada 121 penampilan, berdasarkan rekod daripada portal Transfermarkt, mula menyertai JDT sekitar Mac 2021.

Manakala Hidalgo yang mengidolakan mendiang Diego Maradona pula mula menyertai dalam kancah bola sepak Malaysia sekitar Mei 2021.

Sekiranya kedua-dua pemain hendak dinaturalisasikan, Bergson dan Hidalgo perlu meneruskan penglibatan mereka dalam kancah bola sepak Malaysia sehingga tahun 2026.

Ini bermakna, khidmat kedua-dua pemain ini hanya dapat diturunkan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya sekitar pertengahan tahun 2026.

Pada masa yang sama, Tunku Mahkota Ismail turut mendedahkan Pengarah Sukan serta pengendali baharu skuad Harimau Malaya sedang mengumpul data pemain-pemain Malaysia dalam saingan Liga Super dan yang berada di luar negara.

Sejak awal September lalu, Tunku Mahkota Ismail yang juga merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan bayangan demi bayangan mengenai satu penstrukturan baharu melibatkan pasukan kebangsaan sedang digerakkan oleh baginda.

Beberapa kali Tunku Mahkota Ismail dilihat mengadakan perbincangan mengenai hal-hal bola sepak yang diyakini berkenaan implementasi penstrukturan baharu tersebut bersama beberapa individu bertaraf ikon dalam bola sepak antarabangsa seperti bekas pemain kebangsaan Australia, Tim Cahill; Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John dan Presiden Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PBSI), Erick Thohir.

Bukan itu sahaja, idea itu turut mendapat sokongan oleh pihak kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM15 juta bagi kegunaan beberapa lapisan skuad kebangsaan.

Featured Image: HRH Crown Prince Of Johor

Komen