Timor Leste Tanpa Persiapan Rapi, Berlatih Di Pantai & Hilang Pemain Terbaik – Simon Elissetche
Hafiz Omar

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Timor Leste, Simon Elissetche memaklumkan pasukannya turun tanpa sebarang persiapan yang rapi untuk menghadapi saingan Piala ASEAN 2024.
Antaranya skuad yang menghuni ranking ke-196 dunia itu terpaksa menjalani sesi latihan di kawasan pantai berikutan ketiadaan padang sejak dua minggu lalu ketika mereka berkampung di Vietnam.
Untuk makluman, Timor Leste menggunakan Stadium Hang Day sebagai “home” berikutan tiada stadium yang memenuhi piawaian untuk menganjurkan sebarang perlawanan antarabangsa di negaranya sendiri.
Stadium itu telah menjadi saksi Timor Leste dibelasah tanpa belas kasihan oleh Thailand dengan keputusan 0-10 dalam perlawanan pertama mereka peringkat Kumpulan A, pada Ahad lalu.
“Kami turun ke saingan ini tanpa persiapan kerana sepanjang kami di Vietnam dua minggu lalu, kami tiada padang (untuk mengadakan latihan), kami terpaksa mengadakan latihan di pantai,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada hari ini.

“Beberapa pemain kami hanya tiba di Vietnam dua hari sebelum perlawanan menentang Thailand, kami hanya mengadakan latihan penuh sehari sebelum perlawanan menentang Thailand,” tambahnya.
Sepertimana peribahasa melayu, sudah jatuh ditimpa tangga, nasib Timor Leste bertambah malang apabila kehilangan seorang pemain terbaiknya ekoran mengalami kecederaan yang serius.
“Pada sesi latihan terakhir sebelum menentang Thailand, kami kehilangan (khidmat) salah seorang pemain terbaik yang ditimpa kecederaan teruk pada lututnya yang menyebabkannya mungkin terpaksa berehat selama setahun,”
Tambahnya lagi, “kami juga tidak dapat khidmat seorang lagi pemain terbaik yang beraksi dalam saingan Liga Indonesia kerana tidak mendapat pelepasan daripada kelab (PSIS Semarang), Gali Freitas,”
Disebalik kekurangan, kekangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi ini, Simon ‘jurulatih tak jadi’ Kuala Lumpur City FC (ketika itu dikenali sebagai Kuala Lumpur United FC) tetap mahu memberikan saingan selain memberikan peluang buat pemain-pemain berbakat mereka untuk merasai pengalaman beraksi dan menentang pasukan-pasukan terbaik rantau ASEAN.
Featured Image: Football Association of Malaysia