Selepas menggunakan khidmat Alto Linus selaku ketua jurulatih sementara untuk beberapa perlawanan, akhirnya, Sabah FC memutuskan untuk melantik Martin Stano sebagai ketua jurulatihnya yang baharu.
Pengumuman pelantikan Martin Stano yang mempunyai Lesen Pro itu diumumkan secara rasmi oleh skuad berjulukan Sang Badak menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di pelbagai platform media sosialnya pada Selasa.
Sehubungan dengan itu, Sabah FC turut memaklumkan Alto Linus dilantik sebagai penolong jurulatih manakala Muhamadin Abdul Ajid daripada Sabah FC II diangkat menjadi jurulatih kecergasan sehingga tamat musim 2024/2025.
Menurut pihak Sabah FC, pelantikan ini diambil daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan.
Dimaklumkan, MFL memberikan tempoh sehingga 10hb Disember ini untuk Sabah FC melantik ketua jurulatih baharu yang memiliki Lesen Pro.
Sebagai rekod, Alto hanya memiliki lesen kejurulatihan Diploma ‘A’ AFC sahaja setakat ini – lulus pada Mac lalu.
Sebagai tambahan, ketika bekas ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee mengendalikan Sabah FC, Martin merupakan jurulatih kecergasan mereka.