Jelajah Dunia Akhir: Tang Jie-Ee Wei Mendahului Kumpulan B

December 11, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menutup hari pertama Jelajah Dunia AKhir BWF 2024 dengan muncul pendahulu Kumpulan B.

Pasangan berusia 26 dan 24 tahun masing-masing mendahului selepas melakar kemenangan ke atas sepasang lagi beregu negara iaitu Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai pada perlawanan pertama, pagi tadi.

Pertarungan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei terlebih dahulu menanggung kekalahan pada set pertama menerusi skor 14-21.

Bagaimanapun, gandingan yang menghuni ranking kelapan dunia ini berhasil bangkit mencatatkan kemenangan pada set kedua menerusi skor 21-10 sebelum menoktahkan perlawanan dengan mencatatkan kemenangan 21-14 pada set ketiga.

Pertarungan yang berlangsung di Gelanggang 2, Pusat Sukan Olimpik Hangzhou berlangsung dalam tempoh masa 50 minit.

Pendahuluan itu turut disumbang dengan satu lagi keputusan melibatkan pertembungan dalam Kumpulan B iaitu Dejan Ferdinansyah dan Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia mencatatkan kemenangan 23-21, 16-21 dan 21-11 ke atas gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito.

Perlawanan berikutnya, Tang Jie-Ee Wei akan turun menentang Hiroki-Natsu sementara Soon Huat-Shevon akan menentang Dejan-Emanuelle.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd