
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berhasil memulakan kempen Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 dengan langkah kanan hasil menumbangkan Chou Tien Chen pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A.
Pemain berusia 26 tahun terbabit melakar kemenangan ke atas perseorangan Chinese Taipei itu secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-15 dalam tempoh masa 39 minit.
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan keenamnya ke atas Tien Chen selepas bertembung sebanyak 11 kali di pelbagai kejohanan antarabangsa.
Kemenangan itu membolehkannya mengutip mata pertama daripada kejohanan yang yang menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak AS$200,000 kepada juara bagi kategori perseorangan lelaki.
Untuk perlawanan berikutnya, Zii Jia akan turun menentang rakan karibnya dari Denmark, Anders Antonsen.
Berdasarkan rekod, kedua-duanya pernah bertemu sebanyak sembilan kali dan Zii Jia hanya melakar empat kemenangan sahaja termasuk ketika berlangsungnya pertemuan terakhir di Sukan Olimpik Paris 2024.