Piala ASEAN: Malaysia Bangkit, Kekang Timor Leste Cipta Sejarah
Hafiz Omar

Timor Leste, ranking ke-196 dunia, hampir-hampir sahaja mencipta sejarah mengutip mata pertama dalam kancah Piala ASEAN (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) ketika bertemu Malaysia pada aksi kedua peringkat Kumpulan A, pada hari ini.
Mujurlah pemain naturalisasi kelahiran Brazil, Paulo Josue berhasil melakukan jaringan berganda sekaligus membantu skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menoktahkan permainan dengan keputusan 3-2.
Kedua-dua jaringan tersebut dihasilkan oleh Paulo pada babak kedua iaitu pada minit ke-70 dan ke-84 masing-masing.
Sebelum itu, babak pertama, berakhir dengan Malaysia ketinggalan 1-2 di tangan Timor Leste berikutan skuad bimbingan Elissetch mendapat jaringan penyamaan menerusi Olagar Xavier (45+1β) dan gol pendahuluan oleh Jao Pedro (45+3β).
Terdahulu, Malaysia yang berada pada ranking ke-132 berjaya membuka jaringan menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-38 setelah menyudahkan dengan cemerlang hantaran lintang daripada Fergus Tierney.
Hasil daripada kemenangan pada hari ini, sambil disaksikan 7,450 penonton, Malaysia kini mendahului saingan Kumpulan A dengan pungutan empat mata daripada dua perlawanan.
Sementara itu Timor Leste masih berada di kedudukan tercorot Kumpulan A selepas tewas dua perlawanan termasuk dibantai juara bertahan, Thailand dengan keputusan 0-10 pada aksi pertama lalu.
Pada masa yang sama, keputusan pada hari ini juga membuatkan Timor Leste kekal gagal mengutip sebarang mata daripada pertandingan ini sejak diperkenalkan pada tahun 1996.
Untuk perlawanan seterusnya, Malaysia akan terbang ke Bangkok untuk berhadapan dengan Thailand di Stadium Rajamangala pada 14hb Disember (Sabtu).
Featured Image: FAM