Jelajah Dunia Akhir: Tang Jie-Ee Wei Lakar Kemenangan Kedua

December 12, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berhasil mengekalkan rentak kemenangannya dalam Kumpulan B bagi saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024.

Kemenangan keduanya itu dicetak ketika bertemu beregu Indonesia yang menduduki ranking ke-13 dunia, Dejan Ferdinansyah dan Gloria Emanuelle Widjaja, pada pagi ini.

Pertembungan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei, ranking kelapan dunia, meraih kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-18 dalam tempoh masa 50 minit.

Kemenangan ini bukan sahaja memberikan mata kedua buat Tang Jie-Ee Wei sekaligus mengekalkan mereka selaku pendahulu Kumpulan B.

Bahkan ianya merupakan satu balas dendam selepas mereka tumpas ketika julung kalinya bertembung Dejan-Gloria di Terbuka China 2024 pada September lalu dimana Tang Jie-Ee Wei tewas menerusi skor 21-15, 13-21 dan 9-21.

Perlawanan seterusnya merangkap perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Tang Jie-Ee Wei akan menentang beregu Jepun yang menduduki ranking ke-21 dunia, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd