Jelajah Dunia Akhir: Soon Huat-Shevon Kutip Mata Pertama
December 12, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.2 tanah air, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berhasil mendapatkan mata pertamanya dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 pada hari kedua kejohanan.

Soon Huat-Shevon yang juga merupakan pasangan suami isteri memungut mata pertamanya itu susulan berjaya menumpaskan beregu Jepun yang menghuni ranking ke-21 dunia, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito.

Pertembungan yang berlangsung di Gelanggang 2, Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu menyaksikan Soon Huat-Shevon melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-14 dalam tempoh masa 35 minit.

Menariknya, ini merupakan kali kedua Soon Huat-Shevon berhasil melakar kemenangan ke atas Hiroki-Natsu selepas bertemu sebanyak enam kali di pentas antarabangsa.

Kemenangan pertama Soon Huat-Shevon ke atas pasangan ini hadir ketika beraksi di Kumamoto Masters 2024 pada bulan lalu menerusi skor 21-16 dan 21-13 juga dalam tempoh masa 35 minit.

Hasil kemenangan pada hari ini, Soon Huat-Shevon menghuni tangga kedua Kumpulan B namun berkongsi mata yang sama dengan beregu Indonesia, Dejan Ferdinansyah dan Gloria Widjaja di tangga ketiga.

Esok, kedua-duanya akan bertembung untuk merebut tiket bagi menghuni kedudukan dua teratas dalam Kumpulan B sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

Featured Image: BAM

Komen