Jelajah Dunia Akhir: Sze Fei-Izzuddin Hidupkan Peluang Ke Separuh Akhir
December 12, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.2 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berjaya menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024.

Ianya susulan gandingan pemain berusia 27 tahun masing-masing itu berhasil merekodkan kemenangan pada aksi kedua peringkat Kumpulan A selepas menundukkan beregu Chinese Taipei, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan, hari ini.

Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak datang bergolek dengan mudah buat Sze Fei-Izzuddin dimana mereka terpaksa bermain sehingga tiga set permainan terlebih dahulu sebelum menoktahkannya dengan skor 15-21, 21-19 dan 21-13 dalam tempoh masa 52 minit.

Pada masa yang sama, peluang tersebut bertambah cerah satu lagi perlawanan melibatkan Kumpulan A pada hari ini menyaksikan beregu Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen menumbangkan Lee Yang dan Wang Chi-lin – lawan yang akan mereka temui pada aksi terakhir peringkat kumpulan, esok.

Keputusan itu menjadikan Sze Fei-Izzuddin serta Lee-Wang, pemenang pingat emas Sukan Olimpik, masing-masing mempunyai satu mata dan pemenang pada hari esok akan mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir bagi kejohanan ini.

Berdasarkan rekod, kedua-dua beregu ini pernah bertembung sebanyak empat kali di pentas antarabangsa dan ianya berakhir dengan Sze Fei-Izzuddin dan Lee-Wang meraih dua kemenangan masing-masing.

Featured Image: BAM

Komen