Piala ASEAN: Harimau Malaya Hilang 4 Pemain Sabah FC Menjelang Aksi Bertemu Juara Bertahan
December 13, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya terpaksa akur berhadapan dengan juara bertahan Piala ASEAN (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) iaitu Thailand pada Sabtu tanpa kelibat empat pemain tonggak iaitu Darren Lok, Dominic Tan, Daniel Ting dan Stuart Wilkin.

Difahamkan, nama-nama yang dinyatakan itu terpaksa dilepaskan berikutan majikannya, Sabah FC memanggil semula pemain-pemain tersebut untuk menghadapi Kuching City FC pada peringkat suku akhir Piala Malaysia 2024-25 pada Ahad kelak.

Bagaimanapun, pemain-pemain lain yang digembar-gemburkan turut sama dipanggil semula oleh kelab masing-masing kekal dan terbang bersama-sama skuad ke Bangkok untuk berhadapan pasukan yang menghuni rangking ke-97 dunia itu.

“Empat pemain daripada Sabah FC (dilepaskan), (pemain) Selangor FC semua pergi (termasuk) yang daripada Penang FC (iaitu) Syamer Kutty dan Adib Raop pun ada,” kongsi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman kepada para pengamal media.

“Kita pun memahami kelab dan kelab pun membantu kita, (oleh itu) kita pun kena bantu kelab jugalah, itu sahaja,” katanya lagi ketika ditemui selepas majlis pelancaran jam tangan CAT x FAM 2.0 Edisi Terhad di Wisma FAM.

Kelab-kelab membuat keputusan untuk tidak melepaskan pemain-pemain terutamanya kalangan pemain tonggak ke skuad kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Piala ASEAN berikutan saingan liga domestik mahupun antarabangsa masih berjalan.

Pada masa yang sama, penganjuran kejohanan yang menghimpunkan 10 pasukan dari rantau asia tenggara yang memasuki edisi ke-15 berlangsung di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA – sepertimana edisi-edisi lalu – menjadikan kelab-kelab tidak tidak mempunyai obligasi untuk melepaskan para pemain ke skuad kebangsaan.

Perkara ini juga dapat dilihat dengan ketiadaan pertahanan Buriram United, Dion Cools bersama Harimau Malaya selain beberapa ketua jurulatih skuad kebangsaan negara lain yang turut ‘mengomel’ di dalam sidang media mengenai pemain-pemain tonggak mereka tidak dilepaskan oleh pihak kelab.

Biarpun ketiadaan pemain-pemain tonggak, Noor Azman memaklumkan FAM tetap meletakkan sasaran buat Harimau Malaya untuk mara ke perlawanan akhir Piala ASEAN kali ini. 

“Kita ada letak sasaran, sudah mesti sasaran kita untuk ke final (perlawanan akhir), kita tengok setakat mana kita boleh pergi tetapi sasaran kita ke final-lah,”

“Saya yakin dengan kemampuan Pau Marti, dia boleh membimbing dan blend (adun) pemain muda dan pemain senior,” tambahnya.

Komen