
Individu yang memenangi gelaran Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi Zain diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu bagi skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) secara rasmi, pada hari ini.
Pengumuman pelantikan jurulatih berusia 46 tahun itu dikongsikan sendiri oleh badan induk bola sepak kebangsaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media yang disiarkan, sebentar tadi.
Difahamkan, khidmat Nafuzi dipilih untuk memperkasakan semula skuad berjulukan Harimau Muda yang kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini.
Pada tahun hadapan, terdapat tiga kejohanan khusus buat skuad Harimau Muda yang akan menjadi ujian awal buat Nafuzi iaitu Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.
Selain itu, pemilihan Nafuzi juga adalah untuk memastikan kesinambungan gaya dan corak permainan skuad Harimau Muda dengan skuad Harimau Malaya sekaligus memudahkan proses untuk menaikkan bakat-bakat muda ke skuad senior kebangsaan.
Menurut FAM, Nafuzi menjadi calon yang tepat untuk mengisi jawatan ini berikutan rekod dan pengalamannya yang berjaya membawa skuad bawah 21 tahun (B-21) Kelantan FA menjuarai Piala Presiden edisi 2011, 2013 (penolong ketua jurulatih) dan 2015 (ketua jurulatih).
Ketika menjadi ketua jurulatih skuad T-Team FC B-21, Nafuzi membawa pasukan berkenaan muncul naib juara Piala Presiden edisi 2016.
Manakala ketika menjadi ketua jurulatih Terengganu FC dari 2019 hingga 2022, Nafuzi menjadi individu yang bertanggungjawab mengilap bakat-bakat muda menjadi pemain yang bersinar seperti Faisal Halim, Azam Azmi, Shahrul Nizam, Hakimi Abdullah, Rahadiazli Rahalim dan lain-lain lagi.
Nafuzi yang sebelum ini mengemudi Kedah Darul Aman FC sebelum meletakkan jawatannya sekitar penghujung November lalu akan memulakan tugas rasminya bersama FAM pada 1hb Januari kelak.

Featured Image: Malaysian Football League