Tak Ada Masalah Kelab Panggil Semula Pemain Semasa Piala ASEAN
December 16, 2024 Hafizuddin Omar

Bekas penolong ketua jurulatih kebangsaan, Irfan Bakti percaya kelab mahupun skuad kebangsaan pastinya telah mencapai kata sepakat dan memahami keperluan masing-masing dalam menentukan barisan pemain di pentas Piala ASEAN 2024 serta saingan domestik.

Situasi ini tidak seharusnya dilihat daripada sudut negatif semata-mata tetapi perlu memahami keperluan kelab yang ingin mendapatkan kesebelasan terbaik terutamanya apabila berhadapan pertandingan penting seperti Piala Malaysia. 

Bagaimanapun, Irfan bukanlah mahu menidakkan kepentingan skuad negara memandangkan Piala ASEAN berlangsung di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA.

Sebaliknya, situasi ini sepatutnya menjadi peluang untuk pemain-pemain lain juga membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa tanpa mengharapkan kudrat pemain berpengalaman lain semata-mata.

“Bagi saya, tiada masalah pun kalau kelab nak panggil balik pemain-pemain mereka sebab mereka ada hak dan bukannya saja-saja kelab ingin berbuat begitu.” 

“Dan saya percaya sebelum sesuatu keputusan itu dibuat, sudah tentu kelab dan pasukan kebangsaan sudah ada perbincangan sebelum ini berkenaan keluar masuk pemain.”

“Bahkan, liga di Indonesia dan Thailand juga tetap berjalan dalam tempoh kejohanan (Piala ASEAN) ini berlangsung dan kita kena tahu, skuad kebangsaan masih ada pemain lain selain pemain yang telah dipanggil oleh kelab itu.”

“Jadi, inilah masanya untuk mereka membuktikan kemampuan masing-masing yang sebelum ini mereka mungkin tidak berpeluang pun untuk dipanggil ke skuad negara, dan gunalah peluang yang ada ini,” 

“Sekiranya mereka beraksi baik, saya percaya selepas ini akan ada lagi peluang untuk mereka rebut tempat ke kejohanan Kelayakan Piala Asia pula,” katanya.

Pada Khamis lalu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan empat tonggak kebangsaan iaitu Darren Lok, Dominic Tan, Daniel Ting dan Stuart Wilkin tidak menyertai skuad Harimau Malaya untuk menentang Thailand susulan dipanggil semula oleh majikan mereka, Sabah FC bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

Untuk makluman, Irfan yang memenangi gelaran Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2011 pernah membimbing skuad kebangsaan selaku penolong jurulatih ketika di bawah kendalian Claude Le Roy (1994-1995) dan Wan Jamak Wan Hassan (1996-1997).

Selain itu, Irfan cukup dikenali sebagai pengendali beberapa kelab dalam Liga Malaysia seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu FC dan Kuching City FC sebelum ini.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen