Luqman Hakim, Yokohama SCC Berpisah
December 16, 2024 Hafizuddin Omar

Jodoh penyerang skuad muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin bersama Yokohama SCC yang beraksi dalam kancah Liga J3 di Jepun menemui penghujungnya.

Ia susulan kontrak Luqman, 22 tahun, yang berstatus pinjaman daripada KV Kortrijk ke Yokohama SCC berakhir setelah saingan musim ini melabuhkan tirainya.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Yokohama SCC menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di laman sesawang rasminya, pada hari ini.

Sejak diumumkan menyertai kelab berkenaan sekitar pertengahan Januari lalu, penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini merekodkan lapan penampilan dalam saingan liga dan satu penampilan dalam pertandingan berpiala tanpa menjaringkan sebarang gol.

Dijangka, selepas ini, Luqman akan kembali semula ke Belgium memandangkan dia mempunyai baki kontrak bersama KV Kortrijk sehingga pertengahan 2025.

Featured Image: Yokohama SCC

Komen