
Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang bergerak secara bebas (independent) kini menjadi beregu lelaki No.1 negara – merampas status tersebut daripada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Gelaran itu menjadi milik mereka selepas kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini meletakkan mereka di tangga ketiga dalam Ranking Dunia – naik empat anak tangga berbanding kedudukan pada minggu lalu.
Peningkatan itu disumbangkan oleh kemaraan Sze Fei-Izzuddin ke perlawanan akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 yang memberikan pertambahan sebanyak 12,000 mata – hasil daripada muncul naib juara.

Mereka menghuni tangga berkenaan dengan mengumpul 85,916 mata.
Kedudukan di tangga ketiga itu juga merupakan yang tertinggi dalam karier mereka sejak bergandingan sekitar tahun 2016 dan berpisah seketika dari Januari hingga Mei 2023.
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang terkandas di peringkat kumpulan di kejohanan yang sama kini menghuni tangga keenam dunia – jatuh sebanyak satu anak tangga berbanding minggu lalu.
Pada ketika ini, Aaron-Wooi Yik, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik sebanyak dua kali berturut-turut mempunyai 82,615 mata.
Featured Image: Facebook VICTOR