
Beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei bermula dengan kedudukan kesembilan dunia pada Januari lalu namun kini semakin menghampiri kelompok lima terbaik dalam Ranking Dunia.
Kemaskini Ranking Dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan gandingan pemain berusia 26 dan 24 tahun masing-masing itu menduduki tangga keenam dunia – meningkat dua anak tangga berbanding minggu lalu.
Peningkatan itu disumbangkan oleh kemaraan mereka ke perlawanan akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 yang memberikan tambahan 12,000 sekaligus membolehkan mereka mengumpul 73,940 mata secara keseluruhan pada hari ini.

Sebagai rekod, ini merupakan kedudukan tertinggi pernah dicapai Tang Jie-Ee Wei sejak mula digandingkan bersama sekitar penghujung tahun 2022.
Sementara itu, mengikuti Tang Jie-Ee Wei adalah pasangan suami isteri yang bergerak secara bebas (independent), Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai di tangga ketujuh dunia.
Soon Huat-Shevon yang mara sehingga peringkat separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 sebelum ditumpaskan oleh Tang Jie-Ee Wei menghuni tangga berkenaan hasil mengumpul 71,470 mata.
Untuk makluman semua, kedudukan tertinggi pernah dihuni Soon Huat-Shevon adalah di tempat keenam dalam Ranking Dunia.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia