FAM Jalin Kerjasama Dengan Konami Menerusi eFootball

December 17, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penerbit permainan video dari Jepun, Konami tampil mengumumkan jalinan kerjasama menerusi permainan simulasi, eFootball.

Kerjasama itu dijalin dengan tujuan untuk menghubungkan bola sepak tradisional dengan dunia digital selain membuka peluang baharu bagi peminat sukan ini di Malaysia. 

Hasil kerjasama ini, FAM dan Konami akan melancarkan kempen eksklusif dan interaktif bagi menghubungkan eFootball bersama komuniti bola sepak di Malaysia merangkumi pengaktifan khas, pertandingan serta acara yang direka untuk melibatkan para peminat.

Selain itu, dalam permainan eFootball 2025, pemain juga boleh melakukan kempen Piala Asia Tenggara menggunakan pemain skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya dan kad Epic Safee Sali.

Bersempena dengan kempen ini, pemain juga boleh mendapatkan pemain-pemain Malaysia di bawah “National Team Selection Malaysia Disember 2024” sehingga bulan depan yang menyertakan kad untuk Dion Cools, Arif Aiman, Faisal Halim, Corbin-Ong, Matt Davies, Syihan Hazmi, Brendan Gan, Paulo Josue, Dominic Tan, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba.

Untuk pengetahuan semua, kerjasama antara FAM dan Konami ini berlangsung selama dua tahun, demikian makluman daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd