Piala ASEAN: Thailand Cerahkan Peluang Malaysia Ke Separuh Akhir
December 17, 2024 β€’ Hafizuddin Omar

Peluang Malaysia untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN 2024 sedikit cerah apabila juara bertahan, Thailand berjaya menumpaskan Singapura pada aksi ketiga peringkat Kumpulan A, sebentar tadi.

Bagaimanapun, perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura itu menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu mendahului menerusi skor 2-1 ke atas Thailand.

Namun begitu, Thailand yang merupakan pasukan No.1 di rantau asia tenggara berjaya bangkit pada babak kedua mengakhiri permainan dengan keputusan 4-2 termasuk dua jaringan pada masa kecederaan yang melangkau 15 minit lamanya.

Keputusan itu menyaksikan Thailand mengungguli saingan Kumpulan A dengan kutipan sembilan mata diikuti dengan Singapura di tangga kedua, enam mata.

Kemboja pula di tangga ketiga dengan pungutan empat mata selepas berhasil menumpaskan Timor Leste dengan keputusan 2-1 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung berasingan, pada hari ini.

Sementara itu, Malaysia pula berada di tangga keempat berkongsi mata, perbezaan gol dan jumlah gol yang dijaringkan dengan Kemboja.

Untuk melayakkan Malaysia mara ke peringkat separuh akhir, anak-anak buah Pau Marti perlu merekodkan kemenangan ke atas Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi terakhir Kumpulan A yang dijadualkan pada 20 Disember (Jumaat).

Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mengharapkan Thailand mengelak daripada tewas di tangan Kemboja di Stadium Rajamangala juga pada Jumaat nanti.

Untuk makluman, hanya juara dan naib juara kumpulan sahaja akan layak ke peringkat separuh akhir.

Featured Image: Facebook Changsuek

Komen