Jaringan Akrobatik Garnacho Dinobat Pemenang Anugerah Puskas 2024

December 18, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jaringan akrobatik oleh Alejandro Garnacho semasa menyarung jersi Manchester United menentang Everton dalam saingan Liga Premier (PL) telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA 2024.

Gol yang dihasilkan pemain sayap kelahiran Sepanyol setelah menerima hantaran lintang Diogo Dalot pada November tahun lalu di Goodison Park dipilih mengatasi sepuluh lagi calon lain yang turut merebut anugerah terbabit. 

Antara lain yang disenaraikan ialah Hassan Al Haydos (Qatar vs China), Terry Antonis (Melbourne City vs Western Sydney Wanderes), Yassine Benzia (Algeria vs Afrika Selatan), Walter Bou (Lanus vs Tigre), Michael Chirinos (Costa Rica vs Honduras), Federico Dimarco (Inter Milan vs Frosinone), Mohammed Kudus (West Ham United vs Freiburg), Denis Omedi (KCCA vs Kitara), Paul Onuachu (Trabzonspor vs Konyaspor) dan Jaden Philogene (Rotherdam United vs Hull City).

Pengumuman pemenang anugerah itu dilakukan oleh ikon bola sepak Itali, Alessandro del Piero dalam majlis Anugerah Bola Sepak Terbaik FIFA 2024 yang berlangsung di Doha, Qatar.

Untuk makluman, pemain skuad kebangsaan Argentina itu menjadi pemain kedua dalam sejarah skuad berjulukan The Red Devils meraih anugerah berkenaan selepas Cristiano Ronaldo.

Sebagai rekod, Ronaldo yang kini beraksi di Al Nassr yang berpangkalan di Arab Saudi muncul pemain pertama Manchester United meraih Anugerah Puskas susulan jaringan jarak jauhnya ketika menentang Porto dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 2009.

Featured Image: FIFA

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd