Penstrukturan Baharu Harimau Malaya Sampai Ke Pengetahuan Presiden FIFA

December 18, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penstrukturan baharu skuad bola sepak kebangsaan melibatkan skuad senior dan skuad bawah 23 tahun (B-23) yang berjulukan Harimau Malaya dan Harimau Muda nampaknya sudah berada dalam pengetahuan Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

Ini susulan Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail yang memulakan idea untuk projek tersebut telah memberikan taklimat kepada Infantino dalam satu pertemuan yang berlangsung pada Selasa.

Setakat ini, penstrukturan baharu itu menyaksikan bekas ketua jurulatih FC Tokyo dari Australia, Peter Cklamovski dan pemenang Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi Zain diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda masing-masing.

“Infantino telah diberi taklimat mengenai projek skuad kebangsaan di Malaysia yang dimulakan oleh DYAM Pemangku Sultan Johor dan ianya juga mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia.“ tulis perkongsian oleh pelbagai akaun media sosial rasmi milik Tunku Ismail.

Difahamkan, penstrukturan baharu itu juga akan penambahan jawatan baharu dalam skuad kebangsaan seperti Penasihat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengarah Kejurulatihan dan sebagainya selain penggunaan teknologi dan pembentukan pasukan perubatan yang akan memberikan impak kepada skuad kebangsaan.

Manakala kerajaan pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15  juta serta dibentangkan di dalam Belanjawan 2025 bagi tujuan ini. 

“Infantino turut menzahirkan kepercayaan inisiatif nasional tersebut yang dikemudi DYAM Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan.” tulis perkongsian di akaun media sosial Tunku Ismail itu lagi.

Sebagai rekod, idea untuk melakukan penstrukturan baharu melibatkan skuad kebangsaan ini telah didedahkan oleh Tunku Ismail yang merupakan mantan Presiden FAM sejak awal September lalu lagi. 

Tangkap layar daripada akaun Instagram rasmi Tunku Ismail pada 15hb Disember baru-baru ini – sehari sebelum FAM mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd