Piala ASEAN: Tiket Bertemu Singapura Sudah Terjual Melebihi Aksi Menentang Timor Leste
December 18, 2024 Hafizuddin Omar

Pertembungan melibatkan skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menentang Singapura pada Jumaat ini dijangka akan dihadiri lebih ramai penonton berbanding pertemuan menentang Timor-Leste, seminggu lalu.

Menerusi kemaskini oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebanyak 7,609 keping tiket untuk perlawanan tersebut sudah terjual setakat ini – dua hari sebelum berlangsungnya aksi menentang skuad yang menghuni ranking ke-161 dunia terbabit.

Berkemungkinan besar jualan tiket tersebut akan terus meningkat memandangkan perlawanan menentang skuad bimbingan Tsutomu Ogura dari Jepun ini menjadi aksi penentu buat kedua-dua pasukan untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Pada masa yang sama, hari perlawanan yang dijadualkan pada Jumaat malam juga menjadi faktor lebih ramai penyokong dan peminat skuad Harimau Malaya berminat untuk turun ke stadium memberikan sokongan memandangkan ianya hari terakhir bekerja sebelum memasuki cuti hujung minggu.

Sebagai perbandingan, pertembungan melibatkan Malaysia dan Timor-Leste yang berakhir dengan Harimau Malaya mencatatkan kemenangan 3-2 dihadiri seramai 7,450 orang.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen