FAM: Keputusan Pengadil, Pengadil VAR Aksi Sri Pahang vs JDT Tepat
December 19, 2024 Hafizuddin Omar

Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik ketika aksi Liga Super melibatkan Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Selasa lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata pihaknya sentiasa mengutamakan persembahan prestasi pengadil yang cemerlang dan tidak berkompromi dalam kualiti pengadil.

“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik dalam perlawanan tersebut.”

“Keputusan untuk pemberian sepakan penalti pada minit 90’+4 dan layangan tiga kad kuning dalam perlawanan tersebut adalah tepat dan dibuat berpandukan Undang-undang Permainan FIFA dan Protokol VAR.”

“Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan tersebut dan mendapati Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Sivasundaram berkata badan induk bola sepak tanah air juga telah menyediakan program-program pemurnian dan pemulihan untuk pengadil-pengadil Liga Malaysia demi memastikan kualiti kepengadilan di negara ini sentiasa dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Antara program-program tersebut ialah ‘Pre-match Debriefing’, ‘Post Match Debriefing’, ‘Match analysis’ dan ‘Refresher Course’ yang mana ia dibuat setanding dengan penanda aras yang ditetapkan oleh AFC dan FIFA,” ujarnya.

Tambah Sivasundaram lagi, FAM dan MFL telah menjalankan “road-show” iaitu Taklimat Undang-undang Perlawanan dan VAR Protokol untuk semua pasukan yang bertanding di Liga Malaysia 2024-25.

“Ia dijalankan dengan objektif untuk memberi pendedahan dan pemahaman tentang pengendalian dan penggunaan teknologi VAR dalam Liga Malaysia 2024-25.”

“Setakat ini sebanyak 141 perlawanan telah dilangsungkan yang menggunakan teknologi VAR . Situasi ini seharusnya telah memberi ruang yang baik bagi setiap pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia untuk memahami protokol VAR,” jelasnya.

Sivasundram turut mengingatkan bahawa FAM sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada mana-mana pasukan yang ingin mengetahui berhubung dengan penggunaan teknologi VAR dan Protokol di Liga Malaysia 2024-25.

Komen