
Bermula tahun 2025, persatuan atau badan sukan yang berminat menganjurkan sebarang pertandingan sukan peringkat antarabangsa di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan daripada Menteri Belia dan Sukan terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.
Manakala bermula tahun 2026 pula, mana-mana badan sukan yang ingin melakukan bidaan untuk menganjurkan atau menjadi tuan rumah bagi pertandingan sukan peringkat antarabangsa perlu mendapat kebenaran bertulis sebelum melakukan bidaan terbabit.
Difahamkan, perkara tersebut diterapkan bagi mengelakkan nama negara tercalar sekiranya pertandingan-pertandingan antarabangsa yang dianjurkan tersebut tidak dianjurkan dengan sempurna khususnya jika tidak mendapat sebarang peruntukan daripada pihak kerajaan.
“Jemaah Menteri telah meminta kita mengingatkan semua badan sukan yang mahu menganjurkan pertandingan antarabangsa di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan Menteri Belia dan Sukan sebelum ‘bid’ (buat bidaan),”
“Pengalaman kita, tanpa kelulusan (menteri), mereka pergi ‘bid’ (buat bidaan) untuk jadi penganjur kemudian bila dah dapat, mereka datang minta dana, dan, kalau tak dapat dana dan pertandingan itu dilaksanakan dengan teruk nama Malaysia yang terkesan,”
“Jadi, kebenaran bertulis (mulai tahun 2026) mesti diperolehi sebelum membuat tawaran atau menawarkan diri untuk menjadi penganjur (pertandingan antarabangsa),” kata Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam sidang media di Lobi Menara KBS, pada hari ini.
Sebagai rekod, pada tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah bagi beberapa pertandingan besar peringkat antarabangsa seperti Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF Kuala Lumpur, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dan Sukan Pekak Asia Pasifik (APDG) Ke-10.
Tahun 2024 juga menyaksikan Malaysia membuat keputusan untuk menolak tawaran untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel Kali Ke-23 yang akan berlangsung pada tahun 2026 yang akhirnya hak tuan rumah itu diambil oleh Scotland.
Sementara itu, pada tahun 2027 kelak, Malaysia disahkan akan menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan SEA Kali Ke-33 – penganjuran ketujuh selepas menjadi hos pada tahun 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.