
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan sebanyak RM55 juta secara keseluruhan disediakan untuk persatuan atau badan yang berkelayakan bagi menganjurkan sebarang program sukan menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK) pada tahun 2025.
Secara pecahannya pula, GPS diberikan peruntukan sebanyak RM30 juta – berkurangan sebanyak RM10 juta berbanding tahun ini.
GPS memberi peluang kepada badan sukan berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan kelab/pertubuhan belia berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) memohon dana bagi menganjurkan program sukan bagi sukan prestasi tinggi dan impak tinggi di peringat negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang dilaksanakan di dalam negara.
KBS membuat sedikit perubahan terhadap syarat permohonan dana daripada GPS pada tahun hadapan iaitu entiti berstatus syarikat tidak lagi dibenarkan untuk melakukan permohonan.
“Untuk Geran Padanan Sukan (GPS) tahun depan kita mempunyai danan sebanyak RM30 juta yang dibuka untuk untuk permohonan mengikut jendela (dipaparkan di laman sesawang rasmi GPS),” kongsi Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam sidang media yang berlangsung di lobi Menara KBS, pada hari ini.

“Beza Geran Padanan Sukan pada tahun depan (berbanding tahun ini) tidak lagi boleh dipohon oleh syarikat, sebelum ini event company (syarikat penganjuran acara) boleh pohon tapi tahun depan tak boleh dah,” tambahnya.
Untuk makluman, penyaluran peruntukan ini adalah secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) selepas program selesai dilaksanakan dengan jumlah pembiayaan sehingga 50% daripada kos keseluruhan program atau maksimum sehingga RM1 juta.
Sementara itu, bagi DSK pula, KBS memperuntukkan sebanyak RM25 juta – meningkat sebanyak RM5 juta berbanding pada tahun ini.
DSK merupakan satu bentuk bantuan kewangan yang diberikan kepada badan sukan yang berdaftar dengan PJS atau pertubuhan belia berdaftar dengan ROY sahaja.

Bantuan ini diberikan secara “one-off” bagi kelulusan bernilai RM10,000 ke bawah bagi pelaksanaan program atau aktiviti di peringkat komuniti yang melibatkan program pembangunan sukan dan sukan untuk semua yang melibatkan aktiviti kecergasan, sukan dan rekreasi.
Bagi kelulusan melebihi RM10,000 penyaluran akan dilakukan secara berperingkat iaitu 70% sebagai pendahuluan manakala baki 30% disalurkan selepas laporan pelaksanaan program lengkap dikemukakan.
Pada masa yang sama, Hannah mengingatkan bawah KBS dan agensi-agensi di bawahnya tidak mengenakan sebarang caj, komisen ataupun fi untuk permohonan ataupun kelulusan bagi dana-dana ini.
“Jadi saya tidak mahu ada ‘runner’ di luar sana yang akan menawarkan perkhidmatan yang akan memohon (dana-dana ini), kita tidak akan layan ‘runner’ dan tak ada komisyen dan tak ada fi, pastikan badan sukan dan badan belia yang nak memohon terus ke KBS untuk hantar permohonan,” katanya.