
Gandingan beregu badminton wanita No.1 negara iaitu Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang menghuni ranking keenam dunia kini bergelar Duta Jenama bagi Sharp Malaysia.
Pengumuman pelantikan pemain berusia 24 dan 26 tahun masing-masing itu dilakukan Sharp bersempena dengan majlis Meraikan Ulang Tahun Ke-40 jenama dari Jepun ini di Malaysia dan pelancaran kempen Mighty Live dan program Double Sincerity Service Upgrade di Sharp Electronics Malaysia HQ, pada hari ini.
Selaku duta Sharp Malaysia, Pearly-Thinaah turut menjadi duta dan wajah bagi kempen Live Mighty – dimana sebuah video komersil mengenai kempen ini turut melibatkan Pearly-Thinaah.

Dimaklumkan, Sharp mendapat khidmat Pearly-Thinaah selaku duta jenama mereka bagi tempoh setahun.
Dalam majlis itu juga, Sharp turut mengumumkan penubuhan kelab penyokong khusus buat Pearly-Thinaah yang diberikan nama Mighty Pearly Thinaah Squad.
Untuk makluman semua, saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu menjadi pertandingan terakhir disertai Pearly-Thinaah pada tahun ini.
Sementara itu, Pearly-Thinaah akan memulakan musim baharunya pada tahun 2025 kelak dengan turun beraksi dalam saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 7hb hingga 12hb Januari bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.