
Pengumuman ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski dari Australia yang akan mengemudi skuad bola sepak senior kebangsaan pada tahun hadapan ketika barisan kejurulatihan semasa sedang berjuang dalam kempen Piala ASEAN 2024 bukan sahaja menimbulkan persoalan dan pertanyaan dalam kalangan peminat.
Perkara yang sama turut timbul dalam pemikiran pengendali semasa skuad berjulukan Harimau Malaya, Pau Marti dan diluahkannya ketika dalam sidang media praperlawanan menentang Singapura bagi aksi terakhir Kumpulan A.
“Saya berasa pelik sejak awal (kejohanan) lagi, saya tidak tahu mengapa (dan) tidak tahu sebarang manfaat memperkenalkan jurulatih baharu ketika kami masih di sini,” katanya ketika menjawab persoalan daripada seorang pengamal media dari Singapura.

Sebagaimana ramai ketahui, Peter yang sebelum ini mengemudi FC Tokyo yang bersaingan dalam kancah tertinggi bola sepak Jepun diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya pada 16h Disember lalu.
Pengumuman itu turut merangkumi pelantikan jurulatih tempatan, Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) atau nama julukannya, Harimau Muda.
Walaupun menimbulkan pertanyaan dan persoalan di benak fikirannya, pengendali dari Sepanyol terbabit mengakui perkara tersebut adalah di luar daripada kawalannya.
Ketika ini, jurulatih berusia 41 tahun itu lebih gemar untuk menumpukan perhatiannya terhadap perkara yang berada dalam kawalannya selain mengatur strategi ampuh untuk menumpaskan Singapura sekaligus mara ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN 2024.
“Tetapi kami tidak boleh mengubah (perkara) ini (dan) saya tidak boleh mengawal perkara ini, perkara dalam kawalan kami adalah apa yang kami lakukan dalam sesi latihan, apa yang dilakukan di atas padang dan inilah perkara yang kami perlu tumpukan,” tambahnya.
Featured Image: FAM