Piala ASEAN: Harimau Malaya Bimbingan Pau Marti Ucap Selamat Tinggal
Hafiz Omar
Perjalanan skuad bola sepak senior kebangsaan bimbingan Pau Marti terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala ASEAN 2024 selepas mengharungi empat perlawanan peringkat kumpulan.
Skuad berjulukan Harimau Malaya itu gagal sama sekali untuk menempatkan diri dalam kelompok dua teratas dalam Kumpulan A susulan mencatatkan keputusan seri dengan pasukan ke-160 dunia, Singapura pada Jumaat.
Keputusan seri tanpa jaringan yang disaksikan 31.127 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu menyebabkan Malaysia terpaksa akur menghuni tangga ketiga Kumpulan A dengan kutipan lima mata.
Sementara itu, Singapura bimbingan Tsutomu Ogura dari Jepun berhasil muncul naib juara Kumpulan A dan mengiringi Thailand yang mengungguli kumpulan tersebut dengan kutipan mata penuh, 12 mata, ke peringkat separuh akhir.
Untuk makluman, ini juga menjadi perlawanan terakhir buat Pau Marti selaku pengendali Harimau Malaya memandangkan posisi itu akan dipikul oleh ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski dari Australia bermula 1hb Januari kelak.
Featured Image: FAM