Saingan liga bola sepak wanita kebangsaan, Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 dijangka lebih meriah dan kompetitif apabila ianya akan melibatkan penyertaan sebanyak 12 buah pasukan.
Penyertaan itu sekaligus akan memberikan lebih banyak minit permainan serta jumlah perlawanan buat pemain-pemain wanita selain menjadi platform buat ketua jurulatih memilih pemain untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Kita berdoa dan berharap tahun hadapan, kita dapat lakukan dengan lebih baik lagi dengan 12 pasukan, 90 perlawanan, yang akan berlaku (berlangsung) selama enam bulan, bermula bulan empat (April),” kata Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Suraya Yaacob ketika ditemui pada perlawanan terakhir LWN 2024 di Stadium Merdeka, Sabtu.

Pada asalnya, saingan LWN 2024 sepatutnya ditandingi sepuluh buah pasukan namun penganjur hanya mengesahkan secara rasmi penyertaan lapan buah pasukan sahaja ketika majlis pelancarannya, Jun lalu.
Saingan tahun ini juga julung kalinya menyaksikan saingan LWN menerapkan format “double round-robin” serta dimainkan “home” dan “away” bagi setiap pasukan masing-masing.
Pembabitan lapan buah pasukan itu menyaksikan sebanyak 56 perlawanan berlangsung secara keseluruhan dalam tempoh lima bulan dan sebanyak 262 gol dicetak sepanjang saingan ini berlangsung.

LWN 2024 menyaksikan Kelana United FC muncul juara setelah menamatkan saingan dengan kutipan 37 mata. Gelaran naib juara pula menjadi milik Sabah FA (31 mata) sementara tempat ketiga milik Selangor FC (29 mata).
Ketiga-tiga pasukan tersebut membawa pulang ganjaran berupa wang tunai sebanyak RM80,000 serta RM50,000 dan RM30,000 masing-masing.
Sementara itu, Intan Sarah (Kelana United FC) serta Nur Khaleeda (Malaysian University FC) berkongsi gelaran Penjaring Terbanyak LWN 2024 hasil menyumbat 18 gol sepanjang musim ini.
Gelaran Pemain Terbaik LWN 2024 menjadi milik pemain Selangor FC, Nur Ainsyah Murad.
Manakala Zawani Nisha dan Dhiyaa Addin daripada Kelana United FC masing-masing pula merangkul gelaran Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda Terbaik LWN 2024.