
Penyerang muda skuad kebangsaan berdarah Scotland, Fergus Tierney berkemungkinan besar akan kekal dalam kancah bola sepak domestik negara jiran tetangga iaitu Thailand.
Ini selepas sebuah portal bola sepak berpangkalan di negara berkenaan, Think Curve, mengaitkan pemain berusia 21 tahun berkenaan dengan kelab yang beraksi dalam kancah Liga Thai 1 iaitu Nakhonpathom United FC.
Menurut portal berkenaan, Fergus yang kini berstatus ejen bebas (free agent) berikutan kontraknya bersama kelab Liga Thai 2, Chonburi FC ditamatkan secara pramatang bakal mengisi kuota pemain import ASEAN bersama Nakhonpathom United untuk mengharungi baki saingan musim ini.
Difahamkan, khidmat Tierney diperlukan oleh Nakhonpathom United bimbingan Thongchai Sukokki berikutan ketumpulan di bahagian serangannya – menyebabkan Nakhonpathom United kini menghuni zon penyingkiran selepas mengharungi 15 perlawanan.
Tambah portal itu lagi, kemasukan Tierney dijangka akan mengurangkan beban dua penyerang sedia ada, Valdomiro Soares (Brazil) dan Taku Ito (Jepun) untuk menjaringkan gol.
Untuk makluman semua, kelab-kelab Liga Thai boleh menandatangani pemain-pemain baharu pada saat ini berikutan jendela perpindahan pertengahan musimnya sedang dibuka bermula 9hb Disember lalu hingga 17hb Januari 2025.
Bagaimanapun, tinjauan di platform media sosial Nakhonpathom United belum menemui sebarang pengumuman rasmi mengenai kemasukan Tierney bersama kelab berjulukan King Tigers, setakat ini.
Sebagai rekod, ketika beraksi bersama Chonburi FC, Tierney berhasil meraih 13 penampilan dan mencetak satu gol buat skuad berjulukan The Sharks.
Sementara itu, ketika bersama skuad kebangsaan dalam kancah Piala ASEAN 2024 baru-baru ini, Tierney berhasil meraih empat penampilan bersama skuad berjulukan Harimau Malaya selain merekodkan satu gol serta satu bantuan gol ketika menentang Kemboja dan Timor Leste masing-masing.
Featured Image: FAM