
Jenama minuman isotonik No.1 Malaysia, 100Plus akan terus memberikan sokongan kepada perkembangan sukan badminton tanah air apabila bersetuju melanjutkan penajaannya kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dimaklumkan, 100Plus yang diangkat selaku Rakan Minuman Rasmi BAM akan manaja BAM selama empat tahun lagi, satu kitaran Sukan Olimpik, iaitu dari tahun 2025 hingga 2028.
Pemeteraian lanjutan kontrak penajaan tersebut telah ditandatangani oleh Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam dan Pengarah Pemasaran F&N, Leong Wai Yin dalam satu majlis yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada hari ini.

Bagaimanapun, jumlah penajaan yang diberikan oleh 100Plus kepada BAM tidak didedahkan kepada pihak umum.
Sebagai rekod, jenama minuman isotonik ini dan badan induk badminton tanah air mula memeterai perjanjian penajaan dan kerjasama pada November 2003 – rakan kerjasama terpanjang BAM setakat ini.
Pada tahun 2028 kelak, kedua-dua entiti ini akan menyambut ulang tahun kerjasama yang ke-25.
Selain daripada memberikan penajaan dan bekerjasama dengan BAM, 100Plus juga melantik tiga beregu handalan yang bernaung di BAM iaitu Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Pearly Tan & Thinaah Muralitharan serta Chen Tang Jie & Toh Ee Wei selaku Duta Jenama.
Sebagai tambahan, 100Plus menjadi jenama ketiga selepas syarikat perbankan, Affin dan penyedia kelengkapan sukan, Yonex meneruskan komitmen tajaannya terhadap BAM sejak penghujung November lalu.
Featured Image: BAM