
Badan induk bola sepak kebangsaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mengadakan semula kongres dan pemilihannya secepat mungkin.
Arahan itu diberikan kepada KAFA yang kini telah digantung sebagai Ahli Gabungan FAM berkuat kuasa serta-merta bermula Isnin, 23hb Disember 2024.
FAM menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini menjelaskan Kongres KAFA Ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Sesi 2024-2028 adalah tidak sah dan telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
“Ia disebabkan terdapat ahli gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres berkenaan selain prosedur dan tatacara pengendalian Kongres KAFA tersebut tidak dibuat dengan teratur dan mengikut prosedur-prosedur yang betul.” tulis kenyataan oleh FAM.
Tambah FAM lagi, Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti menerusi keputusan secara bertulis telah bersetuju dengan cadangan tindakan yang telah dibentangkan untuk menggantung keahlian KAFA.
Selain itu, keputusan untuk menggantung KAFA ini dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli.
Keputusan ini menyaksikan Ahli Gabungan FAM berbaki 18 persatuan sahaja selepas Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) turut digantung oleh badan induk bola sepak kebangsaan pada 3hb Disember 2024 berikutan gagal menyelesaikan pembayaran penuh tunggakan gaji dan pampasan kontrak sepertimana diarahkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).