
Patrick Reichelt, 36 tahun, yang beraksi sebagai penyerang sayap Kuala Lumpur City FC (KL City) tidak lagi akan menyarung jersi skuad kebangsaan negaranya, Filipina.
Menerusi makluman di akaun Instagram peribadinya, Patrick mengumumkan perlawanan menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala ASEAN 2024 menjadi penampilan terakhirnya bersama skuad berjulukan The Azkals.
Patrick yang lahir di Jerman mengumumkan persaraannya selepas 13 tahun menyarung jersi skuad kebangsaan Filipina.
Jelasnya, keputusan itu diambil berikutan dia dan isterinya sedang menantikan kelahiran cahaya mata pertama dalam masa terdekat selain ingin menumpukan sepenuh masa dengan keluarganya.
Dalam saingan Piala ASEAN 2024, Patrick beraksi sebagai pemain gantian ketika bertemu Myanmar dan Laos selain Indonesia.
Secara keseluruhannya, Patrick telah merekodkan 85 penampilan bersama skuad The Azkals sejak melakukan debutnya pada 5hb September 2012 di bawah bimbingan ketua jurulatih, Michael Weiss.
Featured Image: The Azkals