
Pengendali skuad bola sepak senior kebangsaan, Pau Marti Vicente yang akan tamat tugasannya pada hujung bulan ini tampil memberikan beberapa pesanan buat para penyokong skuad berjulukan Harimau Malaya.
“Tolong jangan berputus asa, jangan pernah berhenti menyokong dan bersorak kepada pemain-pemain ini dengan penuh bersemangat, bersama-sama kita mencapai segala-galanya,” tulisnya dalam ucapan penghargaan menerusi akaun X peribadinya, pada hari ini.
Di dalam ucapan itu, Pau Marti, 41 tahun, berkata masanya bersama Harimau Malaya telah pun menemui titik noktahnya.
“Ia merupakan satu kegembiraan dan penghormatan untuk mewakili negara yang hebat ini di seluruh dunia sejak Februari 2022 dan kenangan itu akan kekal selama-lamanya.” ujarnya.
Tidak ketinggalan, Pau turut merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada barisan kejurulatihan, staf-staf serta para pemain.
Sebagai rekod, pertembungan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat lalu menjadi perlawanan terakhir dikendalikan oleh Pau Marti selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.
Beliau yang dipilih untuk menjadi pemangku ketua jurulatih berikutan perletakan jawatan mengejut oleh Kim Pan-gon sempat mengendalikan sembilan perlawanan secara keseluruhan – 4 menang, 3 seri dan 2 kalah.
Bermula 1hb Januari 2025, skuad bola sepak senior kebangsaan akan dibimbing ketua jurulatih baharu iaitu Peter Cklamovski dari Australia.
Featured Image: FAM