Arab Saudi Larang Jual & Minum Alkohol Di Perlawanan Piala Dunia 2034
December 26, 2024 Hafizuddin Omar

Para penyokong bola sepak yang hadir menyaksikan sebarang perlawanan Piala Dunia FIFA 2034 di stadium tidak dibenarkan untuk membeli atau meminum minuman beralkohol.

Ini berikutan negara timur tengah, Arab Saudi yang dipilih secara rasmi selaku hos bagi saingan Piala Dunia FIFA Ke-25 terbabit melarang perkara berkenaan.

Perkara tersebut disahkan oleh pegawai senior FIFA yang tidak dinamakan, lapor The Guardian. Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi oleh FIFA mengenai larangan berkenaan setakat ini.

Untuk rekod, Arab Saudi melarang sebarang penjualan dan meminum minuman beralkohol sejak tahun 1952 untuk rakyatnya dan para pelancong tanpa mengira agama atau kepercayaan.

Pada Januari lalu, Arab Saudi membenarkan pembukaan kedai minuman beralkohol yang pertama selepas 72 tahun dan hanya boleh diakses kepada diplomat-diplomat bukan beragama Islam.

Ketika saingan Piala Dunia 2022 di Qatar, negara jiran tetangga Arab Saudi, larangan penjualan dan meminum minuman beralkohol dilarang di dalam stadium – diumumkan kira-kira dua hari sebelum sepak mula perlawanan pembukaan.

Featured Image: SAFF

Komen