
Skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menempuh tahun 2024 dengan pelbagai kisah suka dan duka. Kisah-kisah itu bukan bukan sahaja melibatkan perkara di atas padang bahkan di luar padang. Sebagai rekod, sebanyak 15 perlawanan antarabangsa telah diharungi Harimau Malaya sepanjang tahun ini dengan bimbingan dua orang ketua jurulatih.
Berbaki empat hari sebelum masuki tahun 2025, berikut kami rangkumkan sepuluh kisah suka dan duka menimpa Harimau Malaya sepanjang tahun ini:
#1 Suka – Beraksi di Piala Asia

Harimau Malaya memulakan tahun 2024 dengan kembali beraksi dalam kejohanan benua, Piala Asia AFC 2023 yang berlangsung dari 12hb Januari hingga 10 Februari. Malaysia menyertai kelompok 24 negara terbaik beraksi di kejohanan yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu selepas membelasah Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit (SNBJ) pada aksi terakhir pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023. Bertambah bermakna, ini merupakan kemaraan pertama Harimau Malaya secara merit ke saingan Piala Asia selepas 43 tahun.
#2 Suka – Ikat Republik Korea 3-3

Di pentas Piala Asia AFC 2023, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan E bersama-sama pasukan gergasi bola sepak asia, Republik Korea selain dua buah pasukan dari rantau Arab iaitu Jordan dan Bahrain. Skuad bimbingan Kim Pan-gon bermula dengan dua kekalahan di tangan Jordan dan Bahrain dan telah pun disahkan tersingkir daripada saingan Piala Asia selepas dua perlawanan terbabit.
Bagaimanapun, seluruh negara dari Perlis hingga ke Sabah bersorak gembira apabila penyerang naturalisasi kelahiran Colombia, Romel Morales merembat masuk bola hantaran Paulo Josue pada 90’+15 sekaligus mengikat Republik Korea yang dibintangi ramai pemain eropah dan kerap beraksi di Piala Dunia FIFA dengan skor 3-3. Keputusan itu membolehkan Malaysia pulang tanpa tangan kosong dan mencapai sasaran satu mata yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
#3 Suka – Juara Pesta Bola Merdeka

Pada 8hb September 2024, Harimau Malaya menerbitkan satu lagi kisah kesukaan buat semua apabila berjaya merangkul kejuaraan Pesta Bola Merdeka 2024. Kejayaan itu muncul selepas Malaysia yang ketika itu dipimpin Pau Marti menewaskan Lubnan dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Romel Morales dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Ini merupakan kejuaraan sulung Pesta Bola Merdeka dirangkul oleh Malaysia selepas skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) berjulukan Harimau Muda menjuarainya pada edisi 2013. Selain itu, ini merupakan trofi pertama dirangkul oleh Harimau Malaya selepas menjulang Piala AFF pada tahun 2010.
#4 Duka – Kekalahan Besar di Tangan Jordan & New Zealand

Kedukaan pertama skuad Harimau Malaya pada tahun 2024 bermula dengan Malaysia melakar kekalahan terbesar di tangan Jordan iaitu tewas 0-4 hasil jaringan berganda oleh bekas pemain Kedah Darul Aman FC, Mahmoud Al-Mardi dan penyerang yang beraksi dalam kancah Ligue 1, Mousa Al-Tamari masing-masing.
Kekalahan itu bukan sahaja membuatkan Malaysia memulakan kempen Piala Asia dengan langkah kiri tetapi turut membunuh impian Harimau Malaya untuk layak ke peringkat kalah mati.
Selang sembilan bulan kemudian, Malaysia sekali lagi menanggung kekalahan besar 0-4 ketika bertemu pasukan dari benua Oceania iaitu New Zealand dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1. Untuk makluman, dua kekalahan ini merupakan yang terbesar dialami Malaysia daripada 15 perlawanan diharungi sepanjang tahun ini.
#5 Duka – Faisal Halim Disimbah Asid

Pada petang 5hb Mei (Ahad), arena bola sepak tanah air digemparkan dengan kejadian tonggak penyerang sayap skuad kebangsaan iaitu Faisal Halim disimbah dengan cecair asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli belah yang bertempat di Petaling Jaya.
Susulan kejadian itu Faisal atau nama panggilannya, Mickey telah di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan. Dilaporkan, pemain berusia 26 tahun berkenaan mengalami lecur sehingga tahap 4 dan perlu menjalani pembedahan termasuk tampalan kulit.
Berikutan insiden kejam terbabit, Faisal terpaksa berehat panjang daripada bermain bola sepak selain kelabnya, Selangor FC dan skuad kebangsaan terpaksa melupakan khidmatnya – yang sedang berada di puncak prestasi dalam kariernya.
Selepas tiga bulan berehat, Faisal berhasil membuat kemunculan semula di atas padang apabila diturunkan ketika perlawanan menentang Kelantan Darul Naim FC pada aksi kelapan Liga Super 2024-25 di Stadium MBPJ.
#6 Duka – Harimau Malaya Gagal Ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia

Harimau Malaya bagaikan berada di atas landasan yang baik untuk melakar sejarah baharu iaitu layak ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila memulakan kempen Pusingan 2 kelayakan dengan mencatatkan dua kemenangan – menang ke atas Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.
Namun begitu, peluang tersebut mula menyusut apabila Malaysia tewas aksi ketiga dan keempat bertemu Oman di tempat lawan dan tempat sendiri pada Mac 2024.
Peluang itu tertutup rapat apabila Malaysia sekadar mengikat Kyrgyzstan 1-1 di tempat lawan pada aksi kelima peringkat kumpulan sebelum menumpaskan Chinese Taipei dengan keputusan 3-1.
Keputusan tersebut membuatkan Malaysia menamatkan kempen peringkat kumpulan di tangga ketiga dengan kutipan 10 mata – berbeza satu mata sahaja dengan Kyrgyzstan yang muncul naib juara kumpulan dan meraih tiket ke pusingan berikutnya mengiringi Oman.
#7 Duka – Kim Pan-gon Letak Jawatan Secara Mengejut

Tanggal 16hb Julai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, 55 tahun, mengumumkan meletakkan jawatannya secara mengejut menerusi satu sidang media yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Peletakan jawatan itu dibuat Pan-gon selepas mengemudi Harimau Malaya dua tahun dan setengah namun kontraknya masih berbaki kira-kira setahun lagi. Alasan yang diberikan Pan-gon adalah komitmen peribadi – sekaligus membuatkan FAM melepaskannya tanpa perlu membayar sebarang pampasan.
Pan-gon dilabelkan antara ketua jurulatih terbaik pernah skuad kebangsaan miliki selepas berjaya menaikkan kedudukan Harimau Malaya ke tangga 130 dunia selain mara secara merit ke pentas Piala Asia AFC 2023.
Bertambah mengejutkan, tidak sampai dua minggu selepas pengumuman tersebut, Pan-gon diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu bagi sebuah kelab yang berpangkalan di negara kelahirannya, Ulsan HD FC.
#8 Duka – Mats Deijl Tak Layak Sarung Jersi Harimau Malaya

Selepas Pau Marti Vicente diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih, Presiden FAM, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin mendedahkan seorang pertahanan kelahiran Belanda yang mempunyai darah Malaysia, Mats Deijl menyatakan hasrat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
Susulan hasrat itu, FAM telah menjalankan proses-proses yang diperlukan untuk membolehkan pemain berusia 27 tahun berkenaan menyarung jersi Malaysia sekaligus menguatkan lagi skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, ianya bertukar menjadi harapan palsu buat peminat dan penyokong apabila pemain tersebut tidak layak beraksi buat skuad Harimau Malaya kerana hubung kaitnya terhadap Malaysia hanya melalui moyangnya (ibu kepada datuknya) – tidak melepasi syarat daripada FIFA.
#9 Duka – Gagal Masuk Balang 1 Undian Pusingan Akhir Piala Asia

Selepas Malaysia gagal mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia FIFA dan menempah tiket automatik ke Piala Asia AFC 2027, ketua jurulatih pada ketika itu, Kim Pan-gon menggariskan tumpuan seterusnya iaitu menaikkan kedudukan Malaysia dalam Ranking Dunia dan memasuki Balang 1 bagi Undian Pusingan Akhir Piala Asia AFC.
Ianya mustahak kerana akan memberikan satu kelebihan buat Malaysia iaitu mengelak daripada diundi dengan salah satu daripada pasukan yang berada di ranking lebih tinggi daripada Harimau Malaya dalam kumpulan yang sama – mencerahkan peluang Malaysia merebut tiket akhir ke Piala Asia.
Bagaimanapun, Harimau Malaya gagal merealisasikan perkara tersebut berikutan FAM tidak memuktamadkan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada Oktober selain Harimau Malaya sendiri merekodkan keputusan seri dan tewas pada jendela Perlawanan Antarabangsa pada Oktober dan November.
#10 Duka – Gagal Ke Separuh Akhir Piala ASEAN

Peringkat separuh akhir Piala ASEAN (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) seringkali menjadi harapan terendah terhadap kepada skuad Harimau Malaya khususnya daripada para peminat dan penyokong apabila beraksi dalam kejohanan dwitahunan melibatkan negara-negara asia tenggara ini.
Akan tetapi, edisi 2024 menyaksikan Harimau Malaya mengulangi satu lagi episod kandas di peringkat kumpulan sekaligus menghanguskan sama sekali peluang ke peringkat separuh akhir.
Benar, edisi kali ini disertai Harimau Malaya dengan barisan pemain bukan tonggak berikutan tidak mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing baik dalam negara mahupun di luar negara.
Namun, Harimau Malaya sendiri gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri untuk mencipta kemenangan 1-0 sahaja ketika bertemu Singapura pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A – membolehkan mereka meraih gelaran naib juara kumpulan dan layak ke peringkat separuh akhir.