
Teka-teki mengenai individu yang akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam struktur baharu skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya akan terjawab tidak lama lagi.
Menerusi satu perkongsian oleh Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail pada hari ini, baginda memberi bayangan pemilihan mengenai individu yang akan mengisi posisi itu hampir selesai.
Buat masa ini, Tunku Ismail belum memberikan sebarang nama yang akan mengisi jawatan terbabit namun baginda menggariskan beberapa kriteria dan ciri-ciri yang perlu ada pada individu tersebut.
“Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial, dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.”
'National Team CEO Almost Done'
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 27, 2024
Ketua Pegawai Eksekutif pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial, dan hubungan interpersonal dalam bola… pic.twitter.com/XNGHqOlsXo
“Beliau juga perlu mempunyai rangkaian yang kukuh dalam industri bola sepak dengan hubungan erat bersama individu-individu yang berjaya dalam sukan ini bagi merangka hala tuju Harimau Malaya.” kongsi baginda menerusi pelbagai platform media sosialnya.
“Beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi, tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.”
“Selain itu, beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard (piawaian) bola sepak Malaysia.” tambah baginda lagi.
Sebagai rekod, Tunku Ismail yang juga mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan individu awal yang melontarkan dan menggerakkan idea untuk melakukan penstrukturan baharu melibatkan skuad kebangsaan.
Featured Image: HRH Crown Prince of Johor