
Doktor yang mempunyai pengalaman bersama pasukan yang beraksi di Piala Dunia FIFA antara individu yang akan turut menyertai penstrukturan baharu skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.
Kedatangannya dijangka akan membantu meningkatkan tahap kecergasan pemain-pemain sekaligus membantu ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski untuk menerapkan corak permainan yang berintensiti tinggi jika perlu.
Bukan itu sahaja, pemain-pemain juga akan mendapat akses kepada nasihat yang terbaik untuk rawatan sekiranya ditimpa sebarang kecederaan.

“Bagi kecergasan dan perubatan, seorang ‘High Performance Director’ (Pengarah Prestasi Tinggi) akan dilantik. Dia merupakan seorang doktor yang professional dan mempunyai pengalaman dengan pasukan Piala Dunia, bukan seorang doktor yang tiada apa-apa pencapaian.” kongsi Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang menggerakkan usaha penstrukturan semula skuad kebangsaan.
Jawatan yang disebutkan itu merupakan salah satu daripada enam jawatan baharu yang diwujudkan di dalam penstrukturan baharu skuad kebangsaan berdasarkan carta organisasi yang dikongsikan oleh Tunku Ismail pada September lalu.
Lima lagi jawatan lain adalah Pengarah Kejurulatihan, Ketua Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi & Penilaian dan Ketua Sumber Manusia. Kesemua ini akan melaporkan tugas masing-masing kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Sekitar tengah hari tadi, Tunku Ismail turut mendedahkan individu yang akan mengisi jawatan CEO tersebut akan diketahui tidak lama lagi.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers