Kapten Burnley FC Nafi Dakwaan Pertalian Dengan Malaysia
Hafiz Omar

Joshua Brownhill, 29 tahun, kapten merangkap pemain tengah Burnley FC yang beraksi dalam Liga Kejuaraan tampil menafikan dakwaan pertalian darahnya dengan Malaysia.
Brownhill yang juga merupakan bekas pemain akademi Manchester United menafikan dakwaan itu menerusi satu muat naik di akaun Instagram peribadinya, pada hari ini.
“Sekadar mahu menyentuh situasi mengenai beberapa khabar angin yang telah tersebar.”
“Malangnya, satu-satunya kewarganegaraan saga adalah England, dan saya bukan orang Malaysia sepertimana beberapa orang fikirkan.”

“Saya pun tak pasti bagaimana perkara ini bermula tetapi mahu memperjelaskannya.” tulis pemain yang telah meledak sembilan gol dalam divisyen media bola sepak England pada musim ini.
Terdahulu, Brownhill telah dihubungi oleh Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail memintanya untuk membuat satu kenyataan yang menafikan dirinya merupakan orang Malaysia.
Ia susulan ramai penyokong skuad bola sepak kebangsaan telah merayu kepada Tunku Ismail untuk memanggil Brownhill beraksi bersama Malaysia.

Dakwaan bahawa Brownhill yang lahir di Warrington, England mempunyai darah pertalian dengan negara Malaysia bermula menerusi sebuah akaun media sosial, FrFutureTalents – akaun yang dikatakan giat menjejaki pemain-pemain luar negara yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.
Akaun itu berkongsikan tangkap layar emel yang dihantar oleh Brownhill membalas pertanyaan oleh FrFutureTalents dengan mengesahkan dirinya mempunyai darah Malaysia menerusi neneknya.

Perkongsian itu telah menarik perhatian ramai pihak termasuk para penyokong dan media-media tempatan namun ianya tidak pernah disahkan oleh badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebelum itu, akaun yang sama turut mendedahkan menerima balasan emel daripada bintang muda Arsenal dan skuad kebangsaan England iaitu Emile Smith Rowe, 24 tahun, memaklumkan nenek sebelah ibunya berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.
