Penjaga Gol Terengganu FC Berehat Sehingga Hujung Musim – Cedera Lutut Kanan

December 30, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang menghuni tangga keempat Liga Super dan mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia iaitu Terengganu FC terpaksa akur terlepas khidmat salah satu penjaga golnya iaitu Suhaimi Husin untuk baki musim ini.

Ianya susulan pihak kelabnya memaklumkan pemain berusia 30 tahun berkenaan disahkan mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL) dan medial meniscus tear pada lutut kanannya.

Kecederaan itu disahkan selepas membuat imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI).

Sususulan pengesahan itu, kelabnya memaklumkan Suhaimi telah menjalani pembedahan melalui kaedah “repair and augment fiber tape” pada bahagian ligamen dan meniskusnya.

“Tempoh pemulihan dijangka bakal mengambil masa sekitar 4-6 bulan,” kongsi kelabnya menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada Ahad.

Sepanjang musim ini, Suhaimi telah membuat sebelas penampilan yang terdiri daripada lapan penampilan di Liga Super, dua penampilan di saingan Piala Shopee dan satu penampilan di Piala FA.

Perkembangan ini bakal menyaksikan penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim menjadi taruhan utama pemangku ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia dan Piala Shopee 2024-25.

Featured Image: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd