Kontrak Umarbek Tamat Disember 2024, Selangor FC Tak Sambung
Hafiz Omar

Kelab yang menghuni tangga kedua Liga Super iaitu Selangor FC tidak lagi mempunyai khidmat pertahanan tinggi lampai skuad kebangsaan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov.
Ini susulan kelab berjulukan Gergasi Merah terbabit membuat keputusan untuk tidak menyambungkan kontrak Umarbek, 32 tahun, yang berakhir pada Disember 2024.
Keputusan itu dikongsikan sendiri oleh Selangor FC menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Umarbek yang telah membuat 19 penampilan secara keseluruhan bersama Selangor FC pada musim ini tidak menganggur lama.
Selang sekitar setengah jam selepas Selangor FC membuat pengumuman terbabit, FC Nasaf yang berpangkalan di Uzbekistan merangkap bekas kelabnya mengumumkan mengikat semula khidmat Umarbek.
FC Nasaf yang muncul juara Liga Uzbekistan 2024 mengikat khidmat Umarbek dengan kontrak selama setahun.
Sebagai rekod, Umarbek merupakan pemain FC Nasaf dari 2017 sebelum membuat keputusan untuk menyertai Selangor FC pada Februari 2024.
Featured Image: Selangor FC