Anders Antonsen Muncul Juara King Cup Anjuran Lin Dan – Bawa Pulang RM670,000
Hafiz Omar

Ganjaran lumayan berupa wang tunai sebanyak 1.1 juta yuan atau bersamaan sekitar RM670,000 menjadi milik pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen berikutan kejayaannya muncul juara edisi sulung King Cup anjuran legenda badminton dunia, Lin Dan.
Antonsen, 27 tahun, muncul juara selepas berhasil menumpaskan pemain muda China yang sedang meningkat naik, Hu Zhe An dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Ahad di Shenzhen.
Antonsen menewaskan pemain berusia 18 tahun yang juga merupakan johan Kejuaraan Remaja Dunia BWF 2024 terbabit menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-11 dan 21-18.
Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan sulung melibatkan kedua-dua pemain memandangkan Antonsen dan Zhe An belum pernah bertemu dimana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Sementara itu, Zhe An yang muncul naib juara membawa pulang wang tunai sebanyak 500,000 yuan atau bersamaan sekitar RM306,750.

Sementara itu, pemain India yang menghuni ranking ke-12 dunia, Lakshya Sen dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga hasil menumbangkan pemain Perancis, Alex Lanier secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-11.
Lakshya, 23 tahun, meraih wang tunai sebanyak 300,000 yuan atau bersamaan sekitar RM184,050 hasil menduduki tempat berkenaan.
Untuk pengetahuan, kejohanan ini dianjurkan oleh Lin Dan, pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik, untuk mempromosikan lagi disiplin perseorangan lelaki dan menawarkan pendapatan yang mencukupi buat pemain-pemain terbaik bersesuaian dengan bakat masing-masing.
Sebagai tarikan, Lin Dan mengumumkan hadiah ganjaran lumayan – melebihi yang pernah ditawarkan oleh mana-mana kejohanan individu kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) – selain menanggung segala perbelanjaan perjalanan untuk ke kejohanan yang berlangsung di Shenzhen terbabit.
Bagaimanapun, kejohanan ini tidak menawarkan sebarang pungutan mata untuk pengiraan pelbagai ranking oleh BWF.
Sebagai tambahan, kejohanan ini diumumkan dan dianjurkan Lin Dan selepas berjaya menjalankan pertandingan Siri Piala Lin Dan dengan jayanya.
Featured Image: King Cup Open Official Instagram