Nenek Iggy Houben Asal Simpelveld, Belanda – Pemain Nafi Berketurunan Malaysia
December 30, 2024 Hafizuddin Omar

Selepas kecoh mengenai penafian dilakukan Joshua Brownhill bahawa dirinya mempunyai pertalian dengan Malaysia, pemain sayap berusia 20 tahun kelahiran Belanda, Iggy Houben antara individu yang turut tampil menafikan mengenai perkara yang sama.

Iggy yang beraksi bersama skuad PSV Eindhoven Bawah 21 Tahun (B-21) membuat penafian tersebut menerusi satu laporan oleh De Limburger, yang bertajuk “Iggy Houben berterima kasih kepada skuad kebangsaan Malaysia? Tidak, nenek berasal dari Simpelveld (Belanda)”. 

Bukan itu sahaja, satu hantaran di media sosial dipercayai akaun milik ibunya turut membuat penafian yang sama dengan menyatakan seluruh keluarganya 100% berasal dari wilayah Limburg.

Ini sekaligus menafikan pendedahan yang dilakukan oleh akaun media sosial, FrFutureTalents mengatakan Iggy yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Belanda Bawah 19 Tahun (B-19) mempunyai darah pertalian Malaysia menerusi neneknya yang berasal dari Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Nama Iggy turut disertakan oleh FrFutureTalents kalangan 35 pemain dalam senarai data pemain-pemain yang mempunyai darah Malaysia. 

Beberapa hari sebelum ini, seorang lagi pemain, Isaac Hayden, 29 tahun, yang beraksi bersama Newcastle United dalam kancah Premier League (PL) turut menafikan mempunyai darah pertalian dengan Malaysia sepertimana didakwa FrFutureTalents.

Featured Image: PSV Eindhoven

Komen