
Bersempena dengan cuti sekolah yang akan menjelma tidak lama lagi, Astro tampil mengadakan Klinik Netball Super League (NSL) yang membuka ruang buat para peserta untuk mempelajari asas kemahiran bola jaring.
Bukan itu sahaja, Klinik NSL itu juga akan memberikan peluang kepada para pesertanya untuk beramah mesra dengan pemain bintang NSL yang juga merupakan pemain profesional negara.
Sebanyak tiga lokasi telah dipilih untuk mengadakan tiga klinik terbabit iaitu Sports Arena@Uniten (25hb Januari), Kompleks Bola Jaring Che’ Puan Khaleeda (5hb Februari) dan Stadium Juara, Bukit Kiara (15hb Februari).

Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, ini merupakan julung kalinya Klinik NSL dibuka penyertaannya dan diadakan di luar Lembah Klang untuk memupuk pelajar dan generasi muda aktif dalam sukan bola jaring.
Dimaklumkan, peserta yang hadir akan berpeluang untuk mendapat tiket percuma bagi menyaksikan kehangatan saingan NSL serta barang-barang eksklusif NSL. Sementara itu, peserta terbaik pula akan dipilih untuk beraksi di dalam gelanggang sebenar NSL yang akan disiarkan secara langsung.
Tambah Astro lagi, penganjuran Klinik NSL yang mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan turut diadakan di sekolah terpilih bagi menghangatkan lagi bahang kejohanan NSL.
Saingan NSL yang bakal memasuki musim keempat itu nanti akan bermula 1hb Februari dan berakhir pada 23hb Februari 2025.