
Gelaran juara bagi Piala ASEAN (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) edisi ke-15 akan direbut oleh juara bertahan iaitu Thailand dan juara sebanyak dua kali, Vietnam.
Vietnam yang menghuni ranking ke-114 dunia terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir bagi saingan ini selepas berhasil menundukkan Singapura 5-1 secara agregat pada peringkat separuh akhir.
Ianya hasil memenangi perlawanan pertama dan kedua dengan keputusan 2-0 dan 3-1 masing-masing.
Sementara itu, Thailand yang merupakan pasukan No.1 ASEAN pada ketika ini mencipta kebangkitan mengalahkan Filipina pada perlawanan kedua peringkat separuh akhir dengan keputusan 3-1.
Keputusan itu membolehkan mereka menoktahkan saingan separuh akhir dengan kemenangan 4-3 secara agregat selepas tewas perlawanan pertama dengan keputusan 1-2.
Untuk aksi penentuan juara, perlawanan akhir yang menemukan kedua-dua pasukan ini akan dilangsungkan secara timbal balik dengan perlawanan pertama dan kedua dijadualkan pada 2hb dan 5hb Januari 2025 masing-masing.
Sebagai tambahan, kemaraan Thailand pada kali ini membuka peluang buat mereka untuk mencipta sejarah menjadi pasukan pertama menjuarai kejohanan ini secara tiga kali berturut-turut selepas menjuarainya pada edisi 2020 dan 2022.