
Struktur organisasi baharu skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya pada hari ini secara rasminya mengumumkan bekas penyerang skuad kebangsaan Kanada, Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang pertama.
Pengumuman itu dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media yang disiarkan sebentar tadi dan dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya.
Rob yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-44 pada 23hb Januari kelak mempunyai banyak pengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain bola sepak profesional pada Disember 2014.
Sebelum menggantung butnya, Rob sempat beraksi sebanyak 32 kali bersama skuad kebangsaan Kanada selain bermain bersama beberapa kelab ternama seperti LA Galaxy, Eintracht Frankfurt, Hertha BSC, Borussia Monchengladbach, Heracles Almelo, SC Heerenveen, Molde FC dan Moss FK.
Antaranya menjadi Presiden dan Pengasas Bersama Vancouver FC, CEO dan Pengasas Bersama Pacific FC, Pengasas Bersama Liga Premier Kanada (CPL) dan Pengasas Toca Football Canada.
Selain itu, beliau juga terlibat dalam perniagaan dan pelaburan dengan menjadi rakan kongsi bagi sebuah syarikat pengurusan hartanah, DRG Investment Group dan SixFive Sports Fund – badan pelaburan dalam bola sepak professional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan sukan.
FAM memaklumkan Rob akan memulakan tugasnya secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025.
Featured Image: CPL