JDT Sedia Ambil Khidmat Rob Friend Jika Malaysia Tak Mahu
December 31, 2024 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan sukacitanya sedia mendapatkan Rob Friend sekiranya skuad bola sepak kebangsaan Malaysia tidak lagi mahukan khidmatnya suatu hari nanti.

Perkara tersebut diungkapkan oleh Pemangku Sultan Johor merangkap Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail ketika mengulas mengenai pelantikan Rob selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi struktur organisasi baharu skuad berjulukan Harimau Malaya, pada hari ini.

Tunku Ismail menyifatkan pemilihan Rob untuk mengisi jawatan itu sebagai keputusan terbaik memandangkan beliau merupakan seorang jutawan, berkelayakan tinggi dengan pengetahuan bola sepak yang baik, mempunyai hubungan dalam dunia bola sepak dan seorang yang meminati bola sepak.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Tunku Ismail menerusi Instagram Story yang turut mengepilkan “resume” Rob yang mengandungi tahap pendidikan, karier bola sepak, pengalaman profesional dan skil-skil yang dimiliki.

Pemilihan Rob juga sesuai dengan kriteria yang digariskan oleh Tunku Ismail ketika memberikan bayangan mengenai individu yang akan mengisi jawatan tersebut pada minggu lalu.

Antaranya individu tersebut mestilah bukan seorang yang pernah bermain bola sepak di peringkat tertinggi bahkan merupakan seorang yang terlibat dalam perniagaan bagi membolehkannya memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.

Tidak dilupakan, individu terbabit perlu mengetahui selok-belok bola sepak secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.

Rangkaian kukuh dalam industri bola sepak dan hubungan erat dengan individu-individu yang berjaya dalam sukan ini turut dinyatakan oleh Tunku Ismail supaya dapat merangkap hala tuju Harimau Malaya.

Selain itu, individu itu juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan skuad kebangsaan.

Featured Image: Facebook HRH Crown Prince of Johor & Linkedin Rob Friend

Komen