Tatkala kebanyakan rakyat Malaysia menyambut kedatangan tahun 2025 dengan menyaksikan persembahan bunga api, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula menyambutnya dengan mengumumkan skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menyarung jersi PUMA bagi empat tahun akan datang
Perkembangan itu hadir susulan FAM mengesahkan bahawa jenama pakaian dan kelengkapan berasal dari Jerman itu dinamakan sebagai Penaja Pakaian dan Jersi Rasmi bagi skuad berjulukan Harimau Malaya berkuat kuasa 1hb Januari 2025.
“Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting untuk bola sepak Malaysia dengan menggabungkan dedikasi FAM terhadap sukan ini serta legasi inovasi dan kecemerlangan PUMA di dalam dan luar padang,” tulis kenyataan FAM seperti disiarkan di laman sesawang rasminya, tengah malam tadi.
Dimaklumkan, FAM dan PUMA mengikat perjanjian kerjasama strategik bagi tujuan itu bermula dari tahun 2025 sehingga 2028.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut tidak didedahkan lagi buat masa ini dan akan dikongsikan kepada pihak umum pada majlis pelancaran yang akan diumumkan kelak.
Kerjasama ini sekaligus menoktahkan hampir dua dekad penggunaan jersi dari jenama Amerika Syarikat iaitu Nike buat Harimau Malaya. Sebagai rekod, Nike menjadi Penaja Pakaian dan Jersi Rasmi Harimau Malaya bermula Januari 2007 hingga Disember 2024.