Oh! Wow, Sangat Bagus – Bintang Liverpool Puji Sepakan Percuma Safawi Rasid
January 2, 2025 Hafizuddin Omar

Sepakan percuma pemain sayap Terengganu FC, Safawi Rasid ketika bertemu Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Malaysia 2024-25 mendapat pujian daripada bintang Liverpool, Trent Alexander-Arnold.

Alexander-Arnold, 26 tahun, yang juga pemain skuad kebangsaan England memberikan pujian tersebut ketika diminta untuk memberikan komen terhadap lima sepakan percuma yang dilakukan oleh pemain-pemain Liga Malaysia dalam satu sesi wawancara bersama Stadium Astro

“Oh! Wow, itu sangat bagus,” katanya selepas melihat sepakan lencong kencang dilakukan Safawi dari luar kotak penalti yang turut membuatkan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Aqil Abdul Razak mati langkah untuk menyelamatkannya.

Bagaimanapun, Alexander-Arnold memilih sepakan percuma yang dilakukan oleh Juan Muniz ketika menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai paling terbaik di antara kelima-limanya.

Alexander-Arnold menjelaskan sepakan yang dilakukan Muniz oleh kaki kiri dari luar kotak penalti itu merupakan teknik yang sukar dilakukan selain bola tersebut menuju hampir ke bucu tiang gol.

Sementara itu, Alexander-Arnold turut memuji sepakan percuma dilakukan oleh pemain Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo ketika bertemu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium MP Temerloh.

Manakala dua lagi sepakan percuma yang ditontonnya adalah percubaan oleh pemain Perak FC, Luciano Guaychochea ketika bertemu PDRM FC di Stadium MP Selayang dan sepakan oleh kapten KL City FC merangkap pemain skuad kebangsaan, Paulo Josue ketika menentang Sabah FC di Cheras.

Featured Image: Liverpool & Malaysian Football League

Komen